KUCHING - Sarawak Skills Bintulu dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) baru-baru ini menganjurkan Kursus Pengurusan Teknologi Tanaman Nanas.
Sarawak Skills dalam kenyatan hari ini memaklumkan kursus itu dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Dato Sri Roland dalam ucapannya pada majlis itu, menekankan kepentingan teknologi, inovasi dan latihan vokasional (TVET) dalam memodenkan pertanian, terutamanya tanaman bernilai tinggi seperti nanas.
Ujarnya, Kursus tersebut memberi penekanan kepada agroteknologi, kemampanan, pengurusan perniagaan dan pertanian pintar bagi meningkatkan kemahiran peserta termasuk pekebun kecil, belia dan usahawan.
Beliau turut menggalakkan penggunaan alat digital seperti IoT dan dron dalam latihan pertanian serta menekankan bahawa TVET harus menyokong kebolehpasaran, keusahawanan dan pembangunan komuniti.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Sarawak membangunkan bakat, teknologi dan inovasi selaras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back