HAMILTON - Human Rights Watch (HRW) menuduh Israel melakukan “jenayah perang” selepas didapati memaksa puluhan ribu rakyat Palestin meninggalkan tiga kem pelarian di utara Tebing Barat dalam operasi besar-besaran awal tahun ini.
Laporan mengenai “Operation Iron Wall” itu mendakwa pasukan Israel mengosongkan kem Jenin, Tulkarem dan Nur Shams, menyebabkan kira-kira 32,000 penduduk dipaksa berpindah, satu perpindahan terbesar sejak 1967.
HRW turut merekodkan 850 rumah dan bangunan dimusnahkan, serta mendakwa Israel gagal memastikan keselamatan dan pemindahan bermaruah bagi orang awam, termasuk individu kurang upaya.
HRW menegaskan tindakan itu melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memenuhi definisi jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di bawah Statut Rom.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui jurucakapnya Stephane Dujarric berkata, pihaknya menyedari laporan tersebut dan telah berulang kali membangkitkan kebimbangan berhubung keselamatan orang awam Palestin dengan pihak berkuasa Israel.
Sejak perang di Gaza meletus pada Oktober 2023, serangan di Tebing Barat semakin meningkat dengan lebih 1,076 rakyat Palestin terbunuh, lebih 10,700 cedera, dan lebih 20,500 ditahan.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa sebelum ini memutuskan penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai tidak sah, serta menggesa pengosongan keseluruhan kawasan tersebut.
Sumber: BERNAMA-Anadolu
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back