KUCHING – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dijadual merasmikan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat pada 29 November ini.
Perasmian kampus baharu CENTEXS itu menandakan langkah penting dalam pengembangan rangkaian latihan teknikal negeri bagi menyokong pembangunan modal insan di kawasan pesisir Sarawak.
Ketua Pegawai Akademik Industri dan ESG merangkap Pengurus CENTEXS Dalat, Dr Nadianatra Musa, berkata kampus berkenaan kini menawarkan 16 program latihan, antaranya Welding 3G+, Wireman Plus, Digital Marketing, Fiberglass Boat Construction serta latihan dalam bidang kulinari dan fesyen.
Katanya, CENTEXS Dalat menyediakan akses kepada latihan teknikal dan digital berkualiti kepada belia di luar bandar, sekali gus menyokong agenda Sarawak ke arah ekonomi berasaskan teknologi, digital, dan warisan.
Beliau menambah, CENTEXS Dalat juga berperanan melahirkan tenaga kerja kompeten serta menyokong usaha negeri memperkukuh ekosistem pembangunan bakat.
Dr Nadianatra berkata demikian ketika ditemubual oleh Geng Petang CATS di konti CATS FM, hari ini.
Selain itu, Pusat Teknologi Bahasa yang pertama seumpamanya dalam rangkaian CENTEXS turut akan dirasmikan pada majlis tersebut.
Menurut beliau, penubuhan Pusat Teknologi Bahasa yang menawarkan kursus Bahasa Melanau, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin, akan memperkukuh keupayaan pelajar dalam komunikasi pelbagai bahasa yang diperlukan oleh industri dan sektor perkhidmatan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back