WASHINGTON - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menegaskan bahawa Komet 3I/ATLAS tidak akan menghampiri Bumi atau mana-mana planet lain dalam sistem suria.
“Tidak, itu tidak akan berlaku… Semua yang berada dalam sistem suria kita akan baik-baik saja,” kata Nicky Fox, pentadbir bersekutu di Direktorat Misi Sains NASA, ketika ditanya sama ada komet itu mungkin melintasi berhampiran mana-mana planet.
Pemangku Pengarah Bahagian Astrofizik NASA, Shawn Domagal-Goldman menjelaskan bahawa gas dan habuk yang terhasil ketika komet meruap bertindak seperti dorongan kecil ibarat enjin roket mini, menyebabkan perubahan kecil pada orbit komet. Keadaan itu dipantau dengan rapi oleh pihak NASA.
Komet 3I/ATLAS mula dapat dilihat dari Bumi pada awal November. Beberapa media antarabangsa sebelum ini membuat spekulasi bahawa komet itu mungkin kapal angkasa makhluk asing.
NASA menafikan dakwaan tersebut dan berkongsi imej komet yang diambil Teleskop Angkasa Hubble pada 21 Julai, ketika ia berada 279 juta batu dari Bumi.
Imej terbaru komet, yang dihasilkan melalui pemprosesan data dan gabungan imej teleskop dari September hingga Oktober, menunjukkan tompokan cahaya kabur kecil.
Komet berkenaan juga melintasi dalam jarak 32 juta kilometer dari Marikh pada awal Oktober, memberi peluang kepada kapal angkasa di Marikh membuat pemerhatian dekat, menurut Tom Statler dari NASA.
Setakat ini, komet yang bergerak pada kelajuan 209,000 kilometer sejam itu dijangka menghampiri Bumi pada 19 Disember dengan jarak sekitar 270 juta kilometre, lebih jauh berbanding jarak purata Bumi ke Matahari iaitu 150 juta kilometer.
Pakar menegaskan bahawa komet ini tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada Bumi.
Sumber: BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI/dpa
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back