MERADONG - Pasukan Task Force Polis dari IPD Meradong telah menjalankan serbuan di kawasan hutan Jalan Hing Kwong, Kelupu, Bintangor pada 19 November lalu antara jam 5.30 pagi hingga 11.30 pagi, selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu.
Serbuan tersebut menyaksikan penahanan 14 lelaki tempatan berusia 19 hingga 40 tahun dan seorang lelaki warga Indonesia berumur 38 tahun. Semua suspek dibawa ke Balai Polis Bintangor untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan air kencing mendapati 13 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Seorang lelaki tempatan didapati negatif dadah dan dibebaskan. Semakan rekod jenayah juga mendapati tujuh daripada suspek pernah ditahan atas kesalahan dadah yang sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Meradong DSP Tansli Mering menegaskan bahawa operasi membanteras dadah akan diteruskan dengan lebih giat bagi mengekang gejala penagihan di daerah itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi aktiviti haram dan memberi maklumat kepada pihak polis melalui talian 084-693222.
Sumber: IPD Meradong
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back