KUCHING - Penjawat awam Sarawak digesa untuk menghayati kerangka 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge bagi memperkukuh perkhidmatan awam negeri.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menegaskan kerangka 3R bukan sekadar slogan, tetapi merupakan seruan tindakan dan prinsip panduan yang harus membentuk cara penjawat awam berfikir, bertindak serta berkhidmat demi kepentingan rakyat.
Berucap pada Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2025 di Kuching hari ini, beliau berkata penjawat awam mesti mempunyai keberanian untuk meneliti serta menambah baik cara bekerja, mengenal pasti jurang dan halangan, memperbaiki ketidakcekapan dan memastikan perkhidmatan benar-benar memenuhi keperluan serta jangkaan rakyat dan semua pihak berkepentingan.
Ujarnya, strategi dan sistem perkhidmatan awam perlu sentiasa dibentuk semula agar lebih strategik, berpandangan jauh serta berorientasikan rakyat, seiring tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan.
Seramai 5,000 penjawat awam Sarawak dan Persekutuan menghadiri majlis yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menegaskan bahawa penjawat awam adalah enjin utama pertumbuhan dan pembangunan Sarawak, bukan sahaja melaksanakan dasar dan program kerajaan, tetapi juga menjadi penggerak utama transformasi negeri.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back