MIRI - Lubuk Tiara Sdn Bhd bakal muncul sebagai ladang perintis di Sarawak yang mengaplikasikan model ekonomi kitaran secara menyeluruh selepas melalui proses penstrukturan semula, sekali gus meletakkan syarikat itu hampir 100 peratus di bawah pemilikan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengambilalihan ekuiti syarikat itu daripada RH oleh LAKMNS membolehkan perubahan pengurusan serta hala tuju operasi dilakukan secara total.
“Ekuitinya kini hampir 100 peratus dimiliki LAKMNS. Kita susun semula agar ia menjadi pemangkin ekonomi di kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas melawat Ladang Lubuk Tiara, Rabu 19 November.
Menurut beliau, Ladang Lubuk Tiara akan beralih daripada bergantung kepada hasil kelapa sawit semata-mata kepada model pendapatan pelbagai melalui aktiviti berasaskan ekonomi hijau dan ekonomi kitaran.
Antara aktiviti baharu yang dirancang termasuk penghasilan biomass daripada pokok kelapa sawit tua, penanaman pokok tumbesaran cepat, pengeluaran makanan haiwan daripada bahan buangan sawit, selain projek yang menyokong nilai tambah dalam rantaian sektor perladangan.
“Prinsip ekonomi kitaran membolehkan semua bahan digunakan semula tanpa pembaziran. Tanaman kelapa sawit juga boleh diurus secara berfasa, dengan pokok lama diproses menjadi biomass, dan kitaran ini berulang setiap lima hingga enam tahun,” jelasnya.
Abang Johari turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi moden, termasuk simulasi ladang menggunakan kecerdasan buatan (AI), bagi membantu syarikat membuat keputusan berkaitan penuaian, penanaman semula dan pengurusan tanah.
Terdahulu, Premier menghadiri sesi taklimat selama sejam bersama pihak pengurusan mengenai perkembangan terbaharu operasi ladang tersebut.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil serta Residen Bahagian Miri Galung Luang.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back