BAU - Polis menahan lapan lelaki berusia antara 21 hingga 34 tahun dalam satu operasi narkotik yang dijalankan di sekitar kawasan Singai dan Sebobok, Bau pada awal pagi Rabu (19 Nov).Operasi yang bermula kira-kira jam 6.45 pagi hingga 9.00 pagi itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menerusi Op Tapis Khas/Op Waran Tangkap.
Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A.Rahman, kesemua suspek ditahan hasil pemeriksaan yang dilakukan pasukan narkotik IPD Bau.
“Salah seorang daripada suspek didapati memiliki dua paket plastik lut sinar berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu. Suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujian saringan air kencing ke atas kesemua lapan lelaki itu turut mendapati mereka positif dadah, dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
PDRM menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi Hotline JSJN Bukit Aman (012-208 7222) atau Hotline JSJN IPK Sarawak (017-592 9211).
Sumber: IPD BAU
#BilikBeritaCATS #CATFM #Umobile
Back