KUCHING - Seramai 11 pelajar dari Universiti Wollongong, Australia telah mengadakan lawatan akademik ke TEGAS Digital Village hari ini bagi meninjau ekosistem inovasi dan pembangunan digital di Sarawak.
Delegasi tersebut diketuai oleh MBA Director dan Director of Strategic Tailored Education Programs (STEP), Universiti Wollongong, Professor Martin O’Brien.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh, hadir menyambut rombongan tersebut.
Dalam taklimatnya, beliau menegaskan komitmen Sarawak untuk membangunkan ekosistem inovasi yang inklusif dan mampan melalui inisiatif berasaskan bakat, teknologi dan keusahawanan.
Menurut beliau, usaha tersebut selari dengan aspirasi negeri untuk melahirkan lebih ramai inovator dan usahawan digital yang mampu bersaing di peringkat global, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab teknologi yang pesat berkembang.
Sepanjang lawatan itu, pelajar tersebut diberikan penerangan mengenai peranan TEGAS sebagai pemacu pembangunan bakat teknologi serta diperkenalkan kepada pelbagai program seperti sokongan pemula niaga (startup), kemudahan berteknologi tinggi dan kerjasama industri–komuniti yang dijalankan di TEGAS.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back