KUCHING – Sarawak merekodkan penurunan ketara kes remaja hamil sebanyak 10.6 peratus tahun ini, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha kerajaan negeri mengekang isu tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, sebanyak 1,324 kes remaja hamil direkodkan bagi tempoh Januari hingga September 2025 berbanding 1,481 kes pada tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) di Kuching, hari ini.
Menurutnya, lebih 62.9 peratus remaja hamil terdiri daripada mereka berumur 18 hingga 19 tahun, manakala peratusan remaja berumur 15 hingga 17 tahun meningkat daripada 30.9 peratus kepada 33.76 peratus.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Fatimah berkata dari segi pentadbiran bahagian, Sarikei mencatatkan peratusan remaja hamil tertinggi, diikuti Sibu dan Betong.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back