KUCHING - Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar mencatat sejarah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) paling lama berkhidmat di Malaysia selepas dilantik semula ke jawatan itu di DUN Sarawak pada Selasa 18 November.
Beliau, 78, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak, disaksikan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan kepimpinan negeri.
Pelantikan baharu itu berkuat kuasa dua tahun bermula 16 Nov 2025 hingga 15 Nov 2027, melanjutkan tempoh khidmat yang telah beliau sandang sejak 2000, menjadikannya antara tokoh legislatif paling berpengalaman di negara ini.
Menurut kenyataan DUN Sarawak, pelantikan semula untuk penggal ke-10 ini membuktikan keyakinan kerajaan negeri terhadap kepimpinan dan komitmen berterusan Mohamad Asfia dalam menerajui institusi perundangan negeri.
Selain berkelulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti Leeds serta Inner Temple, beliau turut memiliki kelayakan pascasiswazah dalam pengurusan maritim.
Kerjaya beliau merangkumi bidang guaman, korporat, media dan politik sebelum dilantik sebagai Speaker pada 2002.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back