KUALA LUMPUR - Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 apabila menewaskan Nepal 1-0 pada aksi kelima Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa malam 18 November, sekali gus mengekalkan rekod bersih selepas lima perlawanan.
Dengan kemenangan itu, Harimau Malaya mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan dengan 15 mata, diikuti Vietnam (sembilan mata), Laos (tiga mata) dan Nepal yang masih tanpa sebarang mata.
Malaysia menguasai permainan sejak awal, memaksa pertahanan Nepal bertahan habis-habisan.
Peluang terbaik babak pertama hadir pada minit ke-37 menerusi tandukan Dion Cools hasil hantaran Mohamad Faisal Abdul Halim, namun percubaan itu ditepis penjaga gol Nepal Kiran Kumar Limbu untuk mengekalkan kedudukan 0-0 hingga rehat.
Gol kemenangan akhirnya muncul pada minit ke-55 selepas lorongan kemas Muhammad Safawi Rasid berjaya disempurnakan Faisal Halim untuk meletakkan Malaysia di depan.
Skuad negara hampir menambah jaringan pada minit ke-90 melalui sepakan penalti Paulo Josue, namun percubaannya tersasar sebelum keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Aksi ini merupakan penutup tirai 2025 bagi skuad negara sebelum mereka melengkapkan saingan peringkat kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada 31 Mac tahun depan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back