KUCHING - Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan bawang bernilai kira-kira RM832,500 di sempadan Serikin, Bau, pada Isnin 17 November.
Menurut kenyataan Sel Operasi Media Markas Pemerintahan Medan Timur TDM (MK PMTTD), pasukan 11 RAMD yang bertugas di bawah Operasi Keris Parang mengesan beberapa lori menggunakan laluan tidak diwartakan dari arah Indonesia ke kawasan kampung berhampiran.
Hasil tindakan pantas anggota di lapangan, semua kenderaan berjaya dipintas, dan empat lelaki ditahan tanpa sebarang ancaman keselamatan iaitu seorang warga tempatan dan tiga warga Indonesia.
Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 21,600 karton rokok, 900 guni bawang serta empat lori yang digunakan sindiket, dengan nilai rampasan dianggarkan RM648,000 bagi rokok, RM31,500 bagi bawang, dan RM153,000 bagi lori.
Kesemua suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut.
TDM menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan kesungguhan anggota mereka menutup ruang eksploitasi sindiket penyeludupan di sempadan.
Sumber: Sel Operasi Media Markas Pemerintahan Medan Timur TDM
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back