KUCHING – Dua lelaki tempatan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 9 tahun dan 3 kali sebatan atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjata di Mahkamah Sesyen Kuching, hari ini.
Kedua-dua tertuduh, Akmal Najmuddin Jeperidin, 32, dan Horyezad Hosen, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Mengikut fakta kes, pada 9 Ogos lalu empat lelaki bertopeng menceroboh sebuah rumah di Taiton, dekat Bau, dengan mengikat mangsa sekeluarga dan melibas parang hingga mencederakan pemilik rumah sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM100,000, barangan kemas, telefon bimbit dan dokumen penting.
Polis kemudian menahan Akmal pada 7 November di Semariang dan Horyezad pada 11 November di Kota Samarahan, selain turut merampas beberapa barang kes yang telah dilupuskan.
Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Adriana Maisarah Mohd Farid.
Back