BINTULU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bintulu berjaya menumpaskan cubaan menyeludup sebanyak 103.46 kilogram syabu bernilai RM3.31 juta dalam satu pemeriksaan di Lapangan Terbang Bintulu, awal bulan ini.
Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan itu dilakukan pada 5 November lalu sekitar jam 8 malam, selepas pasukan Operasi Penguatkuasaan bersama pegawai kastam lapangan terbang mengesan imej mencurigakan pada empat bagasi penumpang.
“Hasil pemeriksaan rapi mendapati empat bagasi tersebut mengandungi 100 bungkusan plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, dua lelaki berusia 22 dan 26 tahun ditahan selepas didapati membawa dua bagasi setiap seorang, dengan setiap bagasi mengandungi kira-kira 50 kilogram dadah.
Menurut Datuk Norizan, modus operandi sindiket adalah menyembunyikan dadah dalam bagasi penumpang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dikenakan hukuman mati, pesalah boleh dikenakan tidak kurang 15 sebatan.
Norizan turut menggesa orang awam menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat, dengan jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Sumber: Utusan Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back