KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan akan membawa kes dokumentasi tujuh pemain warisan negara ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuan mereka ditolak oleh FIFA.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tindakan itu bertujuan memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan badan berkaitan.
“FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang sewajarnya,” katanya.
FIFA sebelum ini mengekalkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan terbabit, termasuk denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) untuk FAM, denda CHF2,000 (RM11,000) bagi setiap pemain, dan penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Kesemua pemain warisan, Gabriel Felipe Arrocha (Sepanyol), Facundo Garces (Argentina), Rodrigo Holgado (Argentina), Imanol Manchuca (Argentina), Joao Figueiredo (Brazil), Jon Irazabal (Sepanyol), dan Hector Hevel (Belanda), dilahirkan di luar negara.
Menurut jawatankuasa FIFA, cubaan memalsukan dokumen adalah pelanggaran serius yang menjejaskan kesaksamaan perlawanan, meruntuhkan keyakinan awam dan menjejaskan asas integriti bola sepak. Selain mengekalkan hukuman, FIFA juga mengarahkan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman FAM.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back