Kota Samarahan – Penyanyi meningkat naik, Nadeera Zaini, menganggap tahun ini sebagai tahun yang manis dalam keriernya, dan berharap tahun hadapan akan terus membawa kejayaan serta peluang baharu yang lebih besar.
Nadeera, atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, akan mengeluarkan satu lagi single tidak lama lagi, termasuk projek duet bersama Ajai.
Bagaimanapun, tarikh pelancaran rasmi bagi projek-projek tersebut masih dalam perbincangan.
“Insya-Allah, kami akan bawakan pada tahun hadapan. Untuk tarikh tepat, kami masih berbincang, jadi belum boleh dikongsikan lagi,” kata Nadeera.
Menurut penyanyi itu, penyertaannya dalam program realiti Backstage musim kelima merupakan loncatan penting dalam kariernya.
Beliau mendedahkan bahawa sebelum ini beliau banyak mencuba pelbagai pertandingan dan program realiti, namun rezeki belum berpihak kepadanya.
Akhirnya, menerusi Big Stage, beliau berjaya menempatkan namanya dalam industri muzik tanah air.
“Backstage menjadi platform untuk saya menempah nama. Sebelum ini saya cuba banyak pertandingan, tapi mungkin belum ada rezeki. Bila mula sertai Backstage, ia memang satu peluang besar,” ujar Nadeera.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Hael Husaini atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
“Ketika beliau menjemput saya untuk menyanyikan lagu ‘Bukan Lagi Kita’, masa itu saya rasa belum ada apa-apa. Tapi beliau melihat bakat saya dari bawah dan membantu mengangkat nama saya. Saya sangat bersyukur kerana mengenali beliau, dan itu salah satu sebab saya berada di tempat saya sekarang,” katanya.
Mengulas mengenai pencapaiannya tahun ini, Nadeera menyifatkannya sebagai tahun yang manis buat kariernya, dengan impian dan cita-cita muziknya satu demi satu tercapai.
“Tahun ini sangat manis. Saya berjaya memasuki Anugerah Juara Lagu, yang memang impian saya. Saya juga berharap lagu saya dikenali ramai, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara. Itu membuatkan saya sangat terharu.
Impian saya adalah untuk menghasilkan banyak lagu yang dikenali orang dan meninggalkan nama sebagai Nadeera Zaini,” katanya.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back