KOTA SAMARAHAN - Dalam operasi membanteras dadah yang dijalankan selama hampir sebulan, Polis Kota Samarahan menahan 91 individu atas pelbagai kesalahan dadah, termasuk pengedaran dan pemilikan, semasa Ops Tapis Khas Narkotik dari 20 Oktober hingga Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Supt Damataries Lautin berkata, rampasan termasuk 55.77 gram methamphetamine, 2.85 gram Erimin 5 dan 2 gram pil Nospan, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6,164.70.
“Semua suspek kini telah didakwa di Mahkamah Kota Samarahan. Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi hari ini.
Supt. Damataries menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang terlibat dalam aktiviti dadah, sama ada memiliki, mengedar atau melindungi pengedar dadah.
Beliau turut menegaskan bahawa dadah kekal musuh nombor satu negara, dengan pihak polis komited membanterasnya demi generasi masa kini dan akan datang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau JSJN Sarawak di 017-592 9211.
Sumber: Polis Daerah Kota Samarahan
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back