SADONG JAYA - Kerajaan Sarawak komited memperluaskan jaringan jalan darat ke seluruh negeri bagi memastikan pembangunan dan kemajuan dapat dinikmati secara inklusif, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha pembangunan infrastruktur di bawah kepimpinan Premier Sarawak kini giat dilaksanakan, termasuk pembinaan rangkaian jalan ke kawasan yang sebelum ini hanya boleh dihubungi melalui sungai atau perjalanan jauh.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Hari Bersama Komuniti Zon 4 Rangawan di Padang Sekolah Kebangsaan Sungai Bulu Senangeh, pada Ahad 16 November.
Salah satu projek terbesar ialah pembinaan jalan darat baharu sepanjang 142 kilometer di Baram, melalui kawasan hutan dan paya, yang dijangka siap sepenuhnya dalam masa empat tahun.
Projek tersebut dijangka membuka Baram sepenuhnya dan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi, akses perkhidmatan sosial serta peluang pembangunan masyarakat setempat.
Datuk Dr. Abdul Rahman menegaskan, pembangunan negeri hanya dapat dilaksanakan secara teratur apabila perpaduan rakyat terus dipelihara, selari dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan Sarawak secara seimbang dan inklusif.
Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, ADUN Simunjan Awla Dris, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, serta pemimpin komuniti tempatan.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back