SIBU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu merampas 8.33 juta batang rokok dan minuman keras tanpa cukai dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM6.32 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah kediaman di Brooke Drive, baru-baru ini.
Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata, serbuan pada 10 Oktober lalu dilakukan hasil risikan Pusat Perisikan Zon Sarawak sebelum pasukan Unit Operasi Darat, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Sibu menyerbu premis yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan barangan larangan.
Pemeriksaan menemukan 8,330,000 batang rokok serta 190.08 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam, melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Nilai sitaan dianggarkan RM750,840.48, manakala jumlah duti dan cukai yang cuba dielak ialah RM5,575,667.53,” katanya pada sidang media di Sibu hari ini.
Beliau berkata kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan JKDM dalam membanteras penyeludupan yang semakin licik, termasuk taktik menyorokkan barangan larangan di kawasan perumahan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda minimum 10 kali amaun duti atau RM100,000 sehingga maksimum 20 kali nilai barang atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya.
JKDM turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
Sumber: Utusan Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back