Kuching – Sebanyak 155 cek, berjumlah keseluruhan RM20 juta, telah diserahkan kepada pihak berkuasa sekolah mubaligh di seluruh Sarawak.
Ia sebagai tanda komitmen Kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan inklusif.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah tersebut merupakan tambahan kepada RM70 juta yang telah disalurkan antara tahun 2021 hingga 2024.
Bantuan itu khusus bagi membantu sekolah-sekolah mubaligh melaksanakan kerja baik pulih dan menaik taraf kemudahan fizikal.
Tujuannya bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif kepada guru serta murid.
Dengan bantuan itu, beliau berharap anak-anak Sarawak di sekolah-sekolah berkenaan dapat menikmati kemudahan yang lebih baik dan moden, setanding dengan yang dinikmati oleh murid di sekolah lain.
Menurut beliau, daripada jumlah bantuan itu, sebanyak RM17.83 juta disalurkan untuk 126 projek di bawah Fasa Pertama, manakala RM2.17 juta lagi digunakan untuk melaksanakan 29 projek di bawah Fasa Kedua.
Beliau menegaskan bahawa sokongan Kerajaan negeri terhadap sekolah mubaligh akan diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem pendidikan Sarawak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back