KUCHING - Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini berkenan menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) di Astana Negeri Sarawak.
Kunjungan yang diketuai Presiden RESPA, Dato’ Meor Chek Hussein Mahayuddin, bersama barisan ahli jawatankuasa tertinggi persatuan itu, bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim selain mendapatkan pandangan serta nasihat daripada Tun Wan Junaidi bagi memperkasakan lagi peranan RESPA dalam menyumbang kepada pembangunan rakyat dan negara.
Dalam pertemuan itu, Tun Wan Junaidi menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan usaha gigih RESPA dalam memperjuangkan kebajikan serta kesejahteraan bekas pegawai kanan polis di seluruh negara.
Kehadiran delegasi RESPA melambangkan semangat setiakawan dan penghargaan tinggi terhadap kepimpinan Tun Wan Junaidi yang menjadi sumber inspirasi kepada warga bekas pegawai kanan polis di Malaysia.
Sumber: Jabatan Penerangan Negeri Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back