KUCHING – Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun kerugian RM333,576 selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud melalui laman web GINKGO-my.com yang ditemuinya di Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu, ketika dihubungi hari ini berkata mangsa membuat 26 transaksi ke enam akaun bank syarikat selepas dijanjikan keuntungan lumayan, namun gagal mengeluarkan wang pelaburan sebelum menyedari ditipu.
Beliau berkata, sejak Januari hingga November tahun ini, sebanyak 101 kes penipuan pelaburan seumpama itu direkodkan di Kuching dengan jumlah kerugian mencecah RM23.3 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis menasihatkan orang ramai supaya menyemak status syarikat pelaburan melalui laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my) atau Suruhanjaya Sekuriti (www.sc.com.my) dan segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back