Kuching – Projek-projek di bawah Program Transformasi Jambatan Luar Bandar menyaksikan sebanyak 32 projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Berdasarkan jumlah itu, lima projek telah bermula, manakala 27 projek lagi sudah ditender.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, lima projek yang telah bermula itu melibatkan tiga jambatan di Sarikei, serta masing-masing satu di Kapit dan Miri.
Sementara itu, 27 jambatan yang telah ditender pula melibatkan tiga di Kuching, masing-masing empat di Serian dan Kapit, satu di Sibu, dan 15 di Miri, menjadikan Miri kawasan dengan jumlah projek tertinggi.
Menurut kenyataan itu, program tersebut merupakan komitmen berterusan JKR Sarawak dalam usaha memperkukuh infrastruktur negeri.
Ia merupakan inisiatif strategik JKR Sarawak bagi meningkatkan keselamatan, kebolehcapaian dan kualiti infrastruktur luar bandar melalui kerja-kerja menaik taraf serta penggantian jambatan-jambatan uzur di seluruh Sarawak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back