MUKAH - Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas ujian air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, pada Khamis 6 November.
IPD Mukah dalam hantaran di Facebook rasminya berkata, operasi diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Mukah, ASP Stephen Buda Anak Kiding, bermula jam 8 pagi melibatkan 21 pegawai dan anggota, dengan tumpuan di sekitar Pasar Lama Balingian, Jalan Balingian-Bintulu dan Kuala Balingian.
“Semasa pemeriksaan, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan di tepi Jalan Balingian-Bintulu selepas didapati positif dadah jenis syabu. Suspek yang bekerja sebagai buruh dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam operasi sama, sebanyak 99 individu dan 86 kenderaan diperiksa, manakala 13 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Operasi berakhir pada jam 12 tengah hari tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Sumber: fb IPD Mukah
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back
BILIK BERITA CATS
07 November 2025 | 02:37 PM