Kuching – Usaha memerangi rasuah bukan hanya tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya memerlukan komitmen dan penyertaan semua pihak demi kesejahteraan bersama.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid Diraja Datuk Dr Juanda Jaya berkata, komitmen tinggi semua pihak penting bagi membentuk benteng kukuh dalam mempertahankan nilai integriti.
Menurut beliau, rasuah boleh menjadi punca kepada pelbagai jenayah lain yang menggugat kesejahteraan masyarakat.
Katanya, selagi amalan rasuah berterusan, manusia akan hilang pertimbangan dan sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya terus melangkah ke hadapan dalam memerangi rasuah serta memperkukuh budaya integriti di setiap peringkat.
Tambah beliau, pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas mampu memperkukuh integriti serta mencegah rasuah daripada berleluasa dalam pentadbiran.
Beliau yakin bahawa melalui usaha berterusan itu, gejala rasuah dapat dibendung daripada berakar umbi dalam ekosistem kerajaan.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Sarawak 2025, di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm #Umobile
Back
BILIK BERITA CATS
07 November 2025 | 02:30 PM