SARATOK - Seorang lelaki yang disyaki mencuri buah sawit milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) diberkas polis di rumahnya di Saratok pada Khamis 6 November.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Maggie berkata, suspek berusia 32 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok pada jam 11.50 pagi hasil siasatan laporan dibuat oleh anggota polis bantuan SALCRA sehari sebelumnya.
“Siasatan mendapati suspek bersama rakannya menggunakan sebuah Toyota Hilux untuk memuatkan tandan buah sawit di Ladang SALCRA, Lubok Renit. Mereka melarikan diri selepas disedari pengadu ketika rondaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut merampas sebuah Hilux, dua tandan buah sawit, sebatang besi ‘loading spike’, dan resit jualan sawit atas nama suspek.
Menurut DSP Mathew, suspek mengaku telah beberapa kali mencuri buah sawit di kawasan sama dan menjual hasilnya di ramp sawit sekitar Saratok bagi mendapatkan wang membeli dadah.
Katanya lagi, ujian air kencing ke atas suspek juga didapati positif methamphetamine, selain mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sumber: IPD Saratok
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back
BILIK BERITA CATS
07 November 2025 | 02:26 PM