Terengganu, 11 Julai: Lima agensi media Sarawak antara 38 wakil media yang terlibat dalam Program Pembangunan Pakej sempena Karnival Candat Sotong dan Program Madani Rakyat 2025 yang berlangsung di Terengganu.
Program anjuran Tourism Malaysia itu menjadi platform kolaborasi untuk bertukar idea mengenai cara terbaik untuk mempromosikan pelancongan maritim yang unik itu.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara, Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris berkata, pelancongan berasaskan komuniti berpotensi besar untuk menjana pendapatan mampan dan membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Pihaknya yakin bahawa aktiviti mencandat sotong di Terengganu mampu menjadi tarikan berasaskan pengalaman bertaraf dunia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Menurut beliau, aktiviti tersebut bukan sekadar warisan, tetapi ia adalah sebahagian daripada cara hidup masyarakat di Terengganu.
Katanya, nilai pelancongan masyarakat Malaysia terletak pada gabungan kukuh antara budaya, komuniti dan alam semula jadi.
Untuk rekod, musim-musim terdahulu membuktikan kuasa ekonomi aktiviti itu, yang berjaya menjana lebih RM7.5 juta kepada ekonomi tempatan serta menarik lebih 30 ribu pengunjung.
Aspirasi Tourism Malaysia adalah untuk mewujudkan pakej pelancongan yang boleh dipasarkan sepanjang tahun, sekali gus membentuk asas kepada pelancongan mampan berasaskan komuniti.
Ia sekali gus mengukuhkan kesediaan Tourism Malaysia untuk menghadapi kempen Melawat Malaysia 2026.
Tambah beliau, ia bukan sekadar kempen nasional, tetapi merupakan misi bersama untuk menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan pilihan utama di peringkat global.
Antara agensi media dari Sarawak yang terlibat dalam program tersebut termasuk CATS FM, TVS, Awani Borneo, BorneoTalk, dan I Love Borneo.
#BilikBeritaCats #Catsfm
#GayaTravel #SquidJigging #CandatSotong #CandatSotongMy #VisitMalaysia2026 #SurrealExperiences #MalaysiaTrulyAsia #cuticutimalaysia #tourismmalaysiasarawak