Kuching, 16 Jun: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak telah menahan sebuah vesel nelayan tempatan bersama tiga kru warga tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyiripan ikan yu.
Pengarah APMM Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, tangkapan itu dibuat semasa rondaan Op Tiris 3.0 dan Op Permai 01/2024 pada kedudukan kira-kira 1.3 batu nautika, barat daya Tanjung Muara Tebas, sekitar jam 2.30 petang semalam.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh tiga kru lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 61 tahun.
Vesel berkenaan ditahan kerana dipercayai menjalankan aktiviti penyiripan ikan yu, iaitu memotong atau memiliki sirip ikan yu di atas vesel, manakala badan ikan dibuang ke laut.
Tindakan tersebut merupakan satu kesalahan yang melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985.
Vesel bersama kesemua kru telah diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan dan siasatan lanjut.
#BilikBeritaCats #Catsfm

BILIK BERITA CATS

16 June 2025 | 04:38 PM