Kota Samarahan, 16 Jun: Penglibatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025, realisasikan hasrat pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.
Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, pelaksanaan NTW bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pembelajaran dan latihan berterusan.
Menurut beliau, usaha tersebut secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pembelajaran dan latihan yang bermanfaat kepada masyarakat.
Katanya, ia juga selaras dengan hala tuju negara untuk memperkukuh pembangunan modal insan melalui pendidikan dan latihan berterusan.
Sejajar dengan komitmen tersebut, UNIMAS akan menawarkan sebanyak 98 kursus sempena NTW 2025, dengan penekanan kepada lima bidang utama.
Antaranya;
• Kemahiran Hidup – pembangunan peribadi dan kendiri.
• Kemahiran Masa Depan – STEM, TVET, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
• Kreativiti & Inovasi – seni, budaya dan pendidikan kreatif.
• Kewangan – literasi kewangan, pelaburan dan teknologi kewangan (fintech).
• Pembangunan Lestari – kelestarian alam sekitar, keadilan sosial dan kemakmuran sejagat.
Sehubungan itu UNIMAS turut merancang untuk memperluaskan lagi penawaran kursus tersebut untuk NTW 2026, dengan pelaksanaan penuh selama seminggu.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Rakan Strategik Berimpak Tinggi sempena NTW 2025 di UNIMAS hari ini.
Menerusi perasmian Majlis tersebut, ia membuktikan komitmen UNIMAS dalam menyediakan kursus berkualiti tinggi bagi menyokong aspirasi pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat.
#BilikBeritaCats #Catsfm

BILIK BERITA CATS

16 June 2025 | 04:34 PM