BETONG, 16 Jun – Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan Jambatan Batang Saribas 1 di Pusa pada 19 Julai ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Premier turut melancarkan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Kami merasakan tarikh tersebut adalah paling sesuai untuk beliau melancarkan Jambatan Batang Saribas 1 yang bernilai RM375.5 juta serta BDDA.
“Jambatan sepanjang 1.55 kilometer itu menamatkan penantian rakyat selama 60 tahun untuk memiliki jambatan merentasi Batang Saribas, dan kini ia telah dibuka untuk kegunaan awam,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan dan pembentukan jawatankuasa pengelola majlis perasmian di sini, hari ini.
“BDDA pula merupakan antara sembilan agensi pembangunan wilayah di negeri ini yang ditubuhkan pada September 2022. Sudah tiba masanya untuk kami memaklumkan kepada rakyat Betong tentang kemajuan yang telah dicapai setakat ini,” katanya.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

16 June 2025 | 02:49 PM