KUCHING, 16 Jun: Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) ke-43 berlangsung hari ini hingga 18 Jun di Hotel Sheraton, Kuching.
Mesyuarat anjuran Kementerian Transformasi Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu, bertujuan untuk menyelaraskan dasar tenaga ASEAN di peringkat pegawai kanan dengan menilai kemajuan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) serta menyediakan keputusan-keputusan penting untuk Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 yang dijadualkan pada Oktober ini.
Selain itu, mesyuarat kali ini turut membincangkan Grid Kuasa ASEAN, status inisiatif ke arah mencapai sasaran APAEC, dan pembiayaan peralihan tenaga.
Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN dari 10 negara anggota ASEAN terlibat ialah dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam manakala Timor-Leste sebagai pemerhati.
Sekitar 250 perwakilan menghadiri mesyuarat itu, termasuk pegawai kanan tenaga, wakil Sekretariat ASEAN, Pusat Tenaga ASEAN (ACE) serta Rakan Dialog seperti Republik Rakyat China, Republik Korea, Jepun, Persekutuan Rusia dan Amerika Syarikat.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

16 June 2025 | 02:09 PM