Kuching, 20 Mei: Kerja-kerja naik taraf bumbung kolam renang tertutup di Bukit Lima, Sibu berpotensi mendorongnya menjadi hab komuniti yang dinamik melalui pelaksanaan program-program inklusif dan mampan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, kemudahan tersebut membolehkan orang awam menjalankan aktiviti rekreasi tanpa bergantung kepada keadaan cuaca.
Selain itu, ia juga secara tidak langsung membolehkan tempoh latihan para atlet yang menggunakan fasiliti tersebut dilanjutkan.
Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan program inklusif dan mampan bagi memastikan penggunaan kemudahan itu secara berterusan, beliau berkata ia merangkumi pelbagai inisiatif.
Antaranya termasuk aktiviti kesihatan berasaskan komuniti yang mempromosikan gaya hidup sihat, serta inisiatif sukan yang tersusun bagi membudayakan sukan sebagai satu gaya hidup.
Katanya, kolam renang komuniti itu juga akan dinaik taraf secara strategik untuk menarik lebih banyak penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Langkah itu bukan sahaja dapat menggalakkan penglibatan golongan belia dalam aktiviti akuatik, malah berfungsi sebagai platform awal bagi mengenal pasti bakat dalam melahirkan generasi atlet masa depan dari peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek, berhubung manfaat kerja naik taraf tersebut dalam persidangan DUN, hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm

BILIK BERITA CATS

20 May 2025 | 02:15 PM