Kuching, 17 April: Tapak projek pembinaan kampus baharu Kolej Universiti I-CATS di Kampung Trombol, Kuching telah dikenal pasti dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada Februari tahun hadapan.
Naib Canselor Kolej Universiti I-CATS, Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, projek berkenaan kini masih di peringkat perancangan yang melibatkan penyediaan konsep, pembukaan tender serta proses penilaian dan pelantikan kontraktor.
Menurut beliau, keseluruhan proses tersebut dijangka mengambil masa sekitar setahun sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan.
Katanya, kampus baharu itu nanti akan menampung sekitar 3 ribu orang untuk fasa pertama kerana kampus asal di Jalan Stampin masih lagi digunakan untuk pengajian.
Sebahagian pelajar masih kekal di kampus yang sedia ada dan sebahagiannya lagi akan berpindah mengikut keperluan fakulti yang akan dikenal pasti.
Menurut beliau, kampus baharu itu akan menempatkan fakulti-fakulti yang memfokuskan kepada bidang teknikal dan kejuruteraan, selaras dengan keperluan semasa yang memerlukan tenaga kerja dalam sektor industri berteknologi tinggi.
Tambah beliau, I-CATS akan terus menyokong inisiatif kerajaan Sarawak melalui pelaksanaan program-program pendidikan dan akademik yang relevan serta penyelidikan yang akan dijalankan di kampus tersebut.
Usaha itu dijangka dapat membantu membangunakan negeri Sarawak secara menyeluruh, terutamanya dalam mendukung agenda transformasi industri berteknologi tinggi.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Forum Transformasi Aeroangkasa Sarawak 2025 di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

17 April 2025 | 05:25 PM