SIBU, 10 April - Pasukan Polis Marin Sibu menemukan mayat seorang lelaki yang terapung di Sungai Batang Rajang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat berkenaan sewaktu ditemukan kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki dengan anggaran ketinggian kira-kira lima kaki dan berkepala botak. Tiada tanda-tanda lain ditemukan pada tubuh mangsa. Turut ditemukan seutas rantai benang berwarna merah pada leher mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa juga mendapati tiada sebarang kecederaan, tanda-tanda berlaku pergelutan atau pergaduhan, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan keluarga boleh menghubungi balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes Sub Insp Donny Lai di talian 084-211221,” katanya. – Bernama
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

10 April 2025 | 05:30 PM