KUCHING: Seorang kelindan lori sampah berusia 28 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Teluk Bandung, Santubong, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata lori sampah jenis Isuzu yang membawa tiga lelaki tempatan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit lalu terbabas ke kiri jalan sekitar jam 10:20 pagi.
Jelasnya menerusi kenyataan media hari ini, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.11 malam tadi di Hospital Umum Sarawak.
Sementara, katanya lagi, pemandu lori berusia 35 tahun cedera dan sedang dirawat di zon kuning, manakala seorang lagi kelindan berusia 51 tahun tidak mengalami kecederaan.
Merbin menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

10 April 2025 | 05:21 PM