SIBURAN, 22 Mac — Seorang lelaki tersepit manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva di Jambatan Sungai Batu, Kampung Tapah, dekat sini, awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.16 pagi.
Katanya dalam satu kenyataan, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bersama sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian susulan itu.
Setibanya di lokasi, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 2 Saiful, berkata pihaknya mendapati dua mangsa telah berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan penyelamat, manakala seorang lagi mangsa tersepit di bahagian pemandu.
Saiful memberitahu bahawa mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan menggunakan peralatan khas.
Tambahnya lagi, mangsa yang tersepit mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Serian menggunakan ambulans EMRS. Sementara, dua lagi mangsa yang cedera ringan diserahkan kepada Ambulans Serian untuk rawatan lanjut.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

22 March 2025 | 10:29 PM