Kuching, 21 Mac – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa bersedia dalam menghadapi banjir luar jangka yang melanda beberapa kawasan di Johor, Sabah, dan Sarawak ketika ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, pegawai JKM telah ditugaskan di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan terjejas bagi memastikan pengurusan kebajikan mangsa berjalan lancar.
Menurut beliau, pegawai bertugas akan bekerja secara bergilir-gilir bagi memastikan bantuan disalurkan secara berterusan, terutama dengan kemungkinan keadaan bencana yang akan berlanjutan hingga Hari Raya.
Katanya, JKM juga bekerjasama rapat dengan agensi lain, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bagi memastikan keadaan di PPS terkawal dan kebajikan mangsa terjamin.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan keadaan semasa di kawasan yang dilanda banjir masih terkawal, dan setakat ini tiada sebarang laporan atau aduan diterima.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyempurnakan Program Agihan Bubur Lambuk bersama badan uniform di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm

BILIK BERITA CATS

22 March 2025 | 10:27 PM