KOTA SAMARAHAN, 21 Mac – Program Ramadan Bubur Lambuk anjuran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dengan kerjasama Unit Islam dan Kebajikan (UnIC) telah berjaya diadakan, memperkukuh semangat kebersamaan serta nilai kemasyarakatan dalam kalangan warga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Majlis tahunan yang dinanti-nantikan ini menggabungkan usaha daripada pelbagai pusat di bawah HEPA, termasuk Pusat Khidmat Pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar, Pusat Keusahawanan UNIMAS, Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, serta Pusat Industri Universiti. Persediaan bagi program ini telah bermula seminggu lebih awal, manakala proses memasak bubur lambuk dimulakan seawal jam 7.30 pagi.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ir. Ts. Al Khalid Othman, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Politik Premier, Abdul Samat Kethergany, serta Abang Abdul Aziz Abang Draup.
Prof. Ir. Ts. Al Khalid dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa program tahunan ini bukan sahaja meningkatkan semangat tolong-menolong dan prihatin dalam kalangan pelajar dan staf UNIMAS, tetapi juga menjadi platform mendekatkan diri dengan komuniti kampus.
Program diakhiri dengan acara simbolik penyerahan bubur lambuk kepada warga UNIMAS yang dalam perjalanan pulang di hadapan Bangunan HEPA, sebagai tanda keprihatinan dan semangat berkongsi keberkatan Ramadan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

22 March 2025 | 10:26 PM