KUALA LUMPUR, 21 Mac - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Sarawak meningkat setakat 4 petang ini, manakala di Sabah semakin baik.
Di Sarawak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 435 orang petang ini berbanding 274 pagi tadi.
Mereka ditempatkan di lima PPS iaitu Balai Raya Song, Asrama Belia Kapit, Dewan Suarah Kapit, Dewan Kompleks Sukan Kanowit dan Dewan Komuniti Sibu Jaya.
Di Johor, jumlah mangsa meningkat kepada 11,776 orang daripada 3,544 keluarga berbanding 10,763 daripada 3,018 keluarga pagi tadi dan berlindung di 97 PPS di lima daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,384, diikuti Kluang (2,669), Pontian (1,791), Kota Tinggi (1,671) dan Kulai (1,261).
Di Sabah, jumlah mangsa yang dipindahkan turun mendadak kepada 344 orang daripada 107 keluarga petang ini berbanding 1,248 orang daripada 396 keluarga pagi tadi susulan penutupan tiga PPS di daerah Kota Marudu yang telah pulih daripada banjir.
Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di sembilan PPS di Keningau, Sipitang, Sandakan, Beluran, Paitan, Matunggong dan Pitas. - BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

22 March 2025 | 10:20 PM