Kuching, 2 Disember: Sebanyak tujuh buah premis di Sarawak telah didakwa atas kesalahan melanggar Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) setakat tahun ini.
Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) merujuk kepada penguatkuasaan sijil perakuan bomba (sijil api-FC).
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, sebanyak 493 premis ditetapkan di Sarawak setakat tahun ini terdiri daripada 67 premis kerajaan dan 426 premis swasta.
Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 313 premis telah memperoleh permit dan sijil perakuan FC, manakala selebihnya telah tamat tempoh sijil perakuan, menerima notis, dan masih dalam proses permohonan.
Oleh itu, beliau menyeru semua pihak yang terlibat mengendalikan premis terbabit untuk mematuhi kehendak yang ditetapkan dalam Akta tersebut.
Tambah beliau, kementeriannya bersedia membantu mana-mana premis untuk mendapatkan permohonan perakuan dan permit FC itu daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPMB) Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran bagi Premis Ditetapkan JBPM Sarawak 2024 di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm