KUCHING, 29 Nov: Sarawak mencatat nilai eksport industri perkayuan Sarawak berjumlah RM2.1 bilion setakat suku ketiga tahun ini.
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA), Zainal Abidin Abdullah berkata Jepun kekal sebagai pengimport utama bagi produk perkayuan dengan nilai RM1.2 bilion.
Beliau berkata PUSAKA giat menjalankan promosi untuk meluaskan pasaran industri perkayuan dengan menyertai pameran dan lawatan perdagangan.
Jelasnya, PUSAKA juga membangunkan industri nilai tambah seperti kayu pelet yang digunakan sebagai bahan bakar mesra alam bagi penjanaan kuasa elektrik.
Zainal menambah nilai eksport kayu pelet Sarawak bagi tempoh suku ketiga tahun ini adalah berjumlah RM60 juta iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 69 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan PUSAKA 2024, Penyampaian Sumbangan Kewangan STA Mutual Fund (STAM) Sdn.Bhd dan Pengagihan Benih Buluh kepada sekolah di Dewan Seminar PUSAKA, Wisma Sumber Alam, Kuching hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM