KUCHING: Projek Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat yang menelan kos kira-kira RM365.7 juta di jalan pesisir Sarawak dijangka akan siap pada Disember 2025.
Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sebelum ini pembinaan yang dikatakan 'projek sakit' itu dijadual akan siap sepenuhnya pada 2026.
Bagaimanapun, beliau optimis pembinaan jambatan sepanjang 1.3 kilometer itu akan siap lebih awal daripada jadual asal.
Justeru itu, Uggah berharap pihak kontraktor penyelamat yang dilantik dapat menyiapkan projek ini dengan kadar segera supaya dapat menangani masalah kesesakan di laluan yang sedia ada dekat Kuching-Samarahan Expressway.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak projek itu, di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Datuk Amar Uggah menegaskan beliau akan turun padang melawat ke tapak projek ini pada penghujung bulan Februari 2025 bagi memantau sendiri perkembangan projek jambatan yang menghubungkan Sejingkat dengan Tanjong Bako itu.
Beliau malah menegaskan untuk melihat dua pilon atau menara tinggi jambatan tersebut didirikan sempurna, yang kini tinggal 37 meter untuk siap sepenuhnya.
Tambah Uggah, siapnya jambatan itu nanti akan membantu meningkatkan sosio ekonomi di negeri ini.
Turut hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo.
#BilikBeritaCATS #CATSFM