KUCHING, 3 Nov: Sejumlah 24 projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Sarawak yang tertangguh sejak 2016 hingga 2022, akan diberi keutamaan dan siap sepenuhnya sebelum pelancaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata peruntukan kira-kira RM1.4 bilion diperlukan, bagi pelaksanaan kesemua projek berkenaan yang kebanyakannya melibatkan di kawasan luar bandar.
Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Taklimat Pelaksanaan Projek Pembangunan Negeri Sarawak di Kuching semalam, beliau berkata projek Jalan Perhubungan Desa (JPD), menjadi antara keutamaan yang perlu disegerakan bagi memudahkan rakyat dari pekan kecil dan bandar tertentu memasuki jalan utama serta Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sejumlah RM85 juta bagi kerja-kerja menaik taraf jalan balak di negeri itu, yang dijangka selesai sepenuhnya tahun ini.
- BERNAMA