KUCHING, 29 Okt: Sarawak menetapkan sasarannya untuk meningkatkan penggunaan gas domestik daripada 6% kepada 30% menjelang tahun 2030, melalui Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
Pelan ini menggariskan pembinaan empat hab gas strategik di Kuching, Bintulu, Samalaju, dan Miri, yang akan menjadi pusat pengedaran utama dalam model penghantaran "Hub-and-Spoke."
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata langkah tersebut dijangka bukan sahaja menyediakan akses gas yang mampu milik kepada seluruh rakyat Sarawak, termasuk di kawasan terpencil, tetapi juga membuka peluang besar untuk pelaburan industri baharu.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menambah strategi ini bertujuan untuk mengukuhkan kestabilan bekalan gas jangka panjang bagi keperluan domestik.
Katanya, hub-hub ini mampu menyokong pertumbuhan industri gas di Sarawak, di samping meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan melalui akses tenaga yang lebih mampan dan kos efektif.
Bercakap pada majlis perasmian PETROS Connect 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini, Awang Tengah berkata, pelan halatuju SGR diharap mampu menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini, terutama dalam sektor industri berasaskan gas seperti petrokimia, pembuatan dan tenaga.
Turut hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #sarawak #petrossarawak