Kuching, 28 Oktober: Kerajaan Sarawak sudah mempunyai pelan induk untuk pembangunan semula bandar Batu Kawa menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak menjadikan bandar Sunway di Selangor sebagai contoh untuk mencapai hasrat pembangunan tersebut.
Menurut beliau, bandar tersebut dahulunya juga merupakan tapak kuari yang kini telah berkembang, dan tidak mustahil untuk Batu Kawa juga akan berkembang seiring dengan perkembangan itu.
Katanya, pelan perancangan tersebut turut mengambil kira pelbagai masalah semasa, termasuk kesesakan lalu lintas serta isu utiliti dan telekomunikasi.
Untuk itu, bagi mengatasi masalah tersebut, pelbagai infrastruktur akan dibangunkan, termasuk infrastruktur pengurusan air dan pembinaan jambatan baru.
Tambah Datuk Patinggi Abang Johari, dengan infrastruktur yang sedang dan bakal dibangunkan di Batu Kawa, ia diharapkan dapat memberi banyak manfaat kepada masyarakat di kawasan tersebut.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho yang baharu di Batu Kawa hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm