KUCHING, 28 Okt – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan kejayaan Sarawak sebagai tuan rumah SUKMA XXI 2024 dengan penganjuran yang cemerlang, menerima pujian dan ucapan terima kasih dari pelbagai pihak.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memuji standard tinggi yang dicapai Sarawak dengan menyifatkan negeri ini sebagai penanda aras baharu dalam penganjuran sukan negara.
Ujar beliau, perasmian SUKMA 2024 turut mendapat pujian antarabangsa, dengan beberapa pihak menyamakan acara itu setaraf, malah lebih baik, dari Sukan Olimpik Paris.
Abang Johari dalam ucapannnya pada Majlis Malam Apresiasi SUKMA XXI 2024 malam tadi, menyatakan bahawa Sarawak mengambil tanggungjawab ini untuk melabur dalam pembangunan atlet negeri demi masa depan generasi muda walaupun bukan giliran negeri ini sebagai tuan rumah bagi temasya kali ini.
Menurut beliau lagi, kejayaan ini mencerminkan komitmen dan kerjasama erat pasukan penganjur serta fokus dalam menyediakan acara bertaraf tinggi.
Foto kredit: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM