• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

LIVERPOOL, CHELSEA REBUT PIALA SUPER UEFA

Jurgen Klopp mahu Liverpool menjadikan memenangi trofi sebagai kebiasaan mereka


Back To Sports Updates

ISTANBUL: Jurgen Klopp mahu Liverpool menjadikan memenangi trofi sebagai kebiasaan mereka apabila mereka kembali ke Istanbul – kota yang pernah menjadi saksi kegemilangan mereka – bertemu pesaing Liga Perdana Inggeris Chelsea dalam final Piala Super UEFA awal pagi Khamis ini.

Kelab Anfield itu menewaskan AC Milan dalam penentuan penalti untuk memenangi Liga Juara-Juara di Turki pada tahun 2005, dan kini berdepan Chelsea selepas menjadi juara Eropah buat kali keenam Jun lalu.

Perlawanan pembuka tirai musim Eropah itu mungkin tidak begitu dipandang ramai, tetapi kedua-dua kelab pasti mahu mengambil peluang berkenaan untuk menambah koleksi piala dengan Liverpool baru saja menamatkan kemarau tujuh tahun kejuaraan manakala Frank Lampard mahu memulakan kariernya sebagai pengendali Chelsea dengan kilauan trofi.

Liverpool sudah memenangi kejohanan berkenaan sebanyak tiga kali manakala Chelsea sekali, tetapi 10 pemenang terakhir Piala Super adalah kelab-kelab Sepanyol.

Turut menarik perhatian pada pertembungan kali ini ialah Stephanie Frappart, pengadil wanita pertama akan mengendali perlawanan utama lelaki dalam kejohanan Eropah.

Perlawanan di laman Besiktas, Vodafone Park itu akan menyaksikan Liverpool turun sebagai pasukan pilihan berbanding Chelsea yang tewas 4-0 kepada Manchester United pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris.

Selepas tewas dalam penentuan penalti kepada Manchester City pada perlawanan Perisai Komuniti, skuad kendalian Klopp membuka tirai Liga Perdana dengan kemenangan 4-1 ke atas Norwich City.

Bagaimanapun keputusan berkenaan dibayangi kehilangan Alisson Becker, dan Klopp mengesahkan penjaga gol Brazil itu akan direhatkan seketika akibat kecederaan betis.

“Saya tidak mahu membuat jangkaan bila dia akan kembali tetapi sudah pasti bukan Rabu ini. Ia akan mengambil masa, beberapa minggu mungkin, kita perlu tunggu dan lihat,” kata Klopp.

Adrian akan menggantikan tempat Alisson dan Klopp berharap pasukannya mampu meneruskan momentum kemenangan ke atas Tottenham pada final Liga Juara-Juara lalu di Madrid.

Chelsea menempah tempat ke perlawanan di Istanbul selepas menewaskan Arsenal pada final Liga Europa, tetapi banyak perubahan dilalui pasukan berkenaan sejak kemenangan terbabit.

Pengendali Maurizio Sarri dan bintang mereka Eden Hazard sudah meninggalkan kelab, dan digantikan dengan legenda mereka Lampard yang kini menjadi mengemudi pasukan dari tepi padang selepas semusim mengutip pengalaman bersama Derby County.

Sumber: Berita Harian