WHAT'S NEXT

CATS XPOSED - ME

10.00am - 12.00pm

TEMPOH ‘BULAN MADU’ TAMAT

Peng Soon-Liu Ying perlu kerja lebih keras rebut tiket ke Olimpik


Back To Sports Updates

Sejak bergelar pemain profesional bermula awal tahun ini, beregu campuran No. 1 negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berdepan situasi tidak menentu terutamanya dari segi dana sehingga menyebabkan perancangan mereka musim ini terjejas.

Mereka terpaksa bekerja keras serta mengeluarkan duit poket sendiri bagi mencari tempat latihan, jauh berbeza ketika menyarung jersi kebangsaan yang menyaksikan segala keperluan latihan ditanggung sepenuhnya Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bagaimanapun, Peng Soon-Liu Ying membuktikan, tanpa bantuan daripada BAM, mereka masih mampu memperagakan aksi terbaik serta bersaing di pentas tertinggi apabila menjuarai Thailand Masters Janua­ri lalu serta Terbuka New Zealand baru-baru ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olim­pik Rio 2016 itu juga turut ber­ada pada landasan terbaik bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun depan apabila mengekalkan kedudukan dalam kelompok lapan beregu terbaik dunia dengan menghuni ranking kelima.

Umpama ‘pucuk dicita ulam mendatang,’ tajaan selama dua tahun yang diterima daripada syarikat minuman Yobick de­ngan nilai enam angka setiap seorang sekali gus melenyapkan masalah kekurangan dana yang dihadapi dua pemain itu bagi menyertai kejohanan-kejohanan akan datang.

Justeru, Liu Ying menegaskan, mereka kini perlu membalas kepercayaan diberikan pihak penaja de­ngan berusaha lebih keras memandangkan peruntukan yang dite­rima sudah mencukupi untuk mereka menyertai lebih 20 kejohanan sehingga temasya Sukan Olimpik 2020 berlangsung.

“Saya akui selepas bergerak secara profesional, kami berdepan kesukaran terutamanya dari segi peruntukan sehingga menyebabkan kami hampir berputus asa kerana sukar mencari tempat latihan serta tiada jurulatih untuk membimbing kami.

“Bagaimanapun, kami mendapat ‘durian runtuh’ apabila Yobick tampil untuk memberikan tajaan dengan nilai enam angka setiap orang selama dua tahun dan ia merangkumi semua perbelanjaan kami sehingga ke Sukan Olimpik tahun depan.

“Memandangkan kos bagi menyer­tai setiap kejohanan sudah selesai, kami hanya perlu menjalani latihan lebih keras serta menampilkan aksi terbaik dalam setiap kejohanan ke­rana ia merupakan tanggungjawab kami serta mahu membalas kepercayaan penaja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Yobick di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, kehadiran bekas pemain beregu lelaki kebangsaan, Chew Choon Eng sebagai jurulatih turut membantu Peng Soon-Liu Ying dalam sesi latihan selain membimbing mereka ketika beraksi dalam setiap kejohanan.

Ternyata, selepas melantik Choon Eng sebagai jurulatih, prestasi mereka dilihat hampir kembali ke puncak apabila sering melangkah jauh dalam setiap kejohanan sehingga mampu membawa pulang gelaran Terbuka New Zealand yang mula menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

Sementara itu, Peng Soon mengakui mereka amat memerlukan bantuan jurulatih dalam setiap kejohanan disertai memandangkan individu berkenaan berperanan untuk mengesan sebarang kesilapan yang dilakukan sekali gus membolehkan mereka memperbaiki kelemahan tersebut.

Pada masa sama, persaingan hebat dengan dua beregu campuran kebangsaan, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing sedikit sebanyak memarakkan lagi semangat mereka untuk bermain lebih baik bagi merebut slot beraksi di Tokyo nanti.

Sumber: Kosmo! Online