• LISTEN NOW ON AIR

    CATS 30

    10.00am - 01.00pm

WHAT'S NEXT

LAGU TEBILANG CATS

01.00pm - 03.00pm

GOL ORIGI LETAK LIVERPOOL KEMBALI DI PUNCAK LIGA PERDANA

Origi mengatasi pemain Newcastle untuk menanduk masuk gol ketiga Liverpool pada aksi liga di St James’ Park, Newcastle Sabtu lepas


Back To Sports Updates

NEWCASTLE: Divock Origi meletakkan semula Liverpool di tempat teratas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun kehilangan Mohamed Salah akibat kecederaan kepala dalam kemenangan 3-2 yang mengasyikkan di Newcastle, manakala Tottenham yang bermain dengan sembilan orang tewas sekali lagi di tempat lawan 1-0 di Bournemouth pada Sabtu.

Pada bahagian bawah liga, Cardiff akan turun ke liga bawah selepas mereka tewas 3-2 kepada Crystal Palace.

Pertarungan mengujakan Liverpool dengan Manchester City untuk merebut kejuaraan kini dijamin akan ditentukan pada hari terakhir musim ini selepas para pemain Jurgen Klopp mendahului semula dengan dua mata di tempat teratas.

City ada kelebihan satu perlawanan, di tempat sendiri menentang Leicester pada hari ini (Isnin) tetapi Liverpool enggan berputus asa dalam usaha mereka untuk memenangi kejuaraan pertama dalam tempoh 29 tahun.

“Jika kami adalah juara, maka kami adalah juara, kita tidak dapat merasai tekanan apabila kita melakukan yang terbaik,” kata Klopp.

“94 mata adalah menakjubkan. Hari ini adalah satu pertarungan bagi keazaman tetapi ia adalah kemenangan bagi kesungguhan, hati dan keinginan yang mutlak – cemerlang sama sekali.”

Virgil van Dijk meletakkan pasukan pelawat di hadapan menerusi satu tandukan pada awal perlawanan di St James’ Park, tetapi Liverpool bernasib baik apabila Newcastle menyamakan kedudukan menerusi Christian Atsu.

Pemain pertahanan kanan Liverpool Trent Alexander-Arnold menggunakan tangan untuk menangani cubaan Salomon Rondon di garisan gol dan boleh dikenakan tendangan penalti dan dibuang dari padang selepas hanya 20 minit sahaja jika Atsu tidak menyumbat bola yang melantun balik ke dalam gawang.

Alexander-Arnold menjadi pencipta apabila para pemain Klopp dengan cepat meletakkan diri semula di hadapan menerusi Salah.

Bagaimanapun, Rondon menyamakan kedudukan sekali lagi untuk Newcastle pada awal separuh masa kedua.

Salah kemudian terpaksa diusung keluar dengan kecederaan kepala selepas dia bertembung dengan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka, yang bermakna dia akan menjadi tanda tanya untuk perlawanan separuh akhir pusingan kedua menentang Barcelona dalam Liga Juara-Juara esok (Selasa).

Namun, walaupun turut kehilangan Roberto Firmino akibat kecederaan, Liverpool menjumpai jawapan empat minit sebelum tamat apabila Origi menolak masuk bola dari tendangan percuma Xherdan Shaqiri.

“Kita merasai emosinya. Ia adalah musim yang sangat istimewa bagi semua,” kata Origi.

“Namun sebagai pemain, kita perlu menyalurkan perasaan itu ke dalam permainan dan pada akhirnya, ia menjadi.”

Tottenham juga ada defisit 1-0 pada peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara untuk diatasi dalam perlawanan menentang Ajax pada Rabu, tetapi masih ada kerja untuk dibuat untuk layak bagi pertandingan itu pada musim akan datang selepas mengalami kekalahan keenam berturut-turut di tempat lawan dalam liga.

Son Heung-min dan Juan Foyth dibuang dari padang sebelum dan selepas waktu rehat.

Pasukan Mauricio Pochettino kelihatan seperti akan bertahan untuk satu mata apabila perlawanan memasuki masa tambahan tetapi pemain pertahanan Bournemouth, Nathan Ake, menamatkan tentangan kental Tottenham yang menduduki tempat ketiga untuk melengahkan cubaan mereka bagi menjamin tempat dalam kelompok empat teratas.

Chelsea di tempat keempat kini akan memintas Spurs jika mereka menewaskan Watford manakala Arsenal, sekarang di tempat kelima, akan merapatkan jurang kepada satu mata dengan musuh tetangga mereka di utara London itu jika mereka menewaskan Brighton.

“Kita perlu maju ke hadapan. Kita ada dua perlawanan akhir di hadapan,” kata Pochettino.

“Ia adalah dalam tangan kita. Jika ia tidak berlaku, kita tetap bangga kerana tidak ada orang yang menyangka Tottenham akan berada dalam kedudukan mereka pada hari ini.”

Cardiff memerlukan kemenangan untuk memperolehi peluang yang realistik bagi mengelak penurunan pada hari terakhir musim, tetapi mereka didominasi Palace di selatan Wales.

Wilfried Zaha meletakkan Palace di hadapan pada minit ke-28 sebelum jaringan sendiri Martin Kelly tiga minit kemudian memberi harapan kepada Cardiff.

Michy Batshuayi memulihkan kelebihan Palace pada minit ke-40 dan Andros Townsend menjadikannya tiga gol selepas 70 minit, dan jaringan Bobby Reid pada minit ke-90 tidak melegakan Cardiff.

“Mereka telah cuba bersungguh-sungguh. Kami telah menunjukkan kekurangan pada hari ini dan itulah sebabnya kenapa kami berada di mana kami berada,” kata pengurus Cardiff, Neil Warnock.

Dalam musim pertama mereka selepas mereka kembali ke liga utama, Wolves semakin hampir pasti menamatkan musim di tempat ketujuh yang mengagumkan apabila Leander Dendoncker memastikan kemenangan 1-0 ke atas kelab yang akan turun ke liga bawah, Fulham.

Jika Manchester City memenangi perlawanan akhir menentang Watford dalam Piala FA pada 18 Mei nanti, pasukan yang menduduki tempat ketujuh akan menyertai peringkat kelayakan Liga Europa pada musim akan datang.

Marko Arnautovic menamatkan kemarau gol bagi 11 perlawanan berturut-turut dengan dua gol dalam kemenangan 3-0 oleh West Ham ke atas Southampton di Stadium London.

Sumber: Utusan Borneo